Twitter

Pemanasan Global dan Nubuatan Alkitab [218]

Posted by globalwarning - -

Pada 18 Julai 1997, Dr John Heap, iaitu Direktor bagi Institut Penyelidikan Kutub Scott (Scott Polar Research Institute) yang bertapak di UK, telah ditemuramah oleh program berita radio Suruhanjaya Penyiaran Australia atau ABC (Australian Broadcasting Commission). Dia telah berkata, dalam perbincangannya dengan juruacara radio mengenai sejarah penyelidikan Antartika selepas Konferens Sains Jubli ANARE yang baru berakhir, bahawa ancaman pemanasan dunia adalah seumpama Pedang Damocles tergantung di atas kepala (peribahasa yang bermaksud kecelakaan yang mungkin menimpa bila-bila masa) setiap orang yang tinggal lebih rendah daripada paras 60 meter (200 kaki) di atas paras laut. Apakah maksudnya dengan pernyataannya itu? Bagaimanakah paras air menjadi begitu tinggi? Bilakah paras ini meningkat kepada ketinggian itu? Bilakah ia akan bermula? Ini adalah persoalan-persoalan yang penting dan ianya tidak diperkatakan oleh ahli-ahli politik.

Presiden kepada Maldives mengatakan bahawa pemanasan dunia mengancam negerinya. Dia telah dilaporkan di dalam petikan berita daripada suratkhabar St Paul Pioneer Express pada 25 Jun 1997:

Dalam suatu rayuan bagi meminta bantuan, negeri-negeri kepulauan pada Pertemuan Sedunia (Earth Summit) memberitakan suatu cerita yang membimbangkan mengenai apa yang berlaku pada masa ini: Lautan sudah mula melimpahi ke atas tanah daratan mereka. Presiden Maldives mengatakan bahawa pemanasan dunia terus mengancam kewujudan negerinya sementara negara-negara gergasi industri sibuk pula dengan “perbincangan remeh-temeh” mengenai faktor-faktor perbelanjaan. Pulau-pulau kecil yang lebih rendah sudahpun ditinggalkan di kawasan Mikronesia. Suatu laporan daripada UN (Bangsa-bangsa Bersatu) mengenai peningkatan suhu mencadangkan bahawa paras laut akan meningkat sebanyak 2 kaki ke tahap yang membahayakan di seluruh dunia dalam masa 100 tahun.

Bukankah laporan ini tidak munasabah? Laporan UN tadi mengatakan bahawa paras laut akan meningkat 60 sentimeter (2 kaki) dalam tempoh 100 tahun tetapi hakikatnya, pulau-pulau di Mikronesia sudahpun mula ditinggalkan. Dr Heap menyebut 60 meter (200 kaki). Siapa yang bercakap salah di sini dan kenapa?

Sejak berita ini dituliskan pada 1997, kita sudahpun mengalami peristiwa besar El Nino dan peningkatan suhu yang ketara di Pasifik.

Peningkatan pada paras laut sedunia jelas sekali terlihat dengan pandangan mata. Sekarangpun ia jelas kelihatan pada pinggir laut Australia.

Baru-baru ini, para saintis New Zealand mengumumkan bahawa mereka risau tentang gumpalan ais Antartika yang sedang berpecah dan dihanyutkan dalam bentuk ketulan-ketulan ais seluas 10 hektar (25 ekar).

Suatu dokumentari TV yang baru-baru ini disiarkan di Australia memeriksa penurunan yang berlaku pada populasi krill dan burung penguin di Antartika. Populasi krill menurun sebanyak 50% sementara populasi penguin turun sebanyak 25%. Kenapakah ini terjadi?

Krill membiak di bawah gumpalan/tudung ais (ice cap) ini. Ia hidup di bawah dan bergantung pada sistem ais ini serta membiak di sana. Krill adalah haiwan-haiwan krustasia (mempunyai kerang) kecil seperti udang. Mereka adalah asas kepada rantai makanan di laut-laut selatan. Mereka adalah makanan utama bagi ikan paus. Ikan-ikan bergantung padanya dan dengan itu penguin juga ikut terancam.

Jika bilangan mereka terus berkurangan, lama-kelamaan kita tidak perlu lagi memikirkan mengenai kuota ikan paus; kerana tiada yang akan terselamat.

Sejak masa itu, berlaku peningkatan pada insiden pencairan tudung ais Antartika.

Selepas El Nino, peningkatan suhu di kawasan Antartika telah menyebabkan berlakunya jangkitan virus di kalangan populasi singa laut. Sekitar 11,000 singa laut telah maut akibat jangkitan virus kerana laut yang bertambah hangat. Bagaimana ini terjadi? Para saintis kini berpendapat bahawa ada wujudnya virus yang tidak diketahui sebelum ini, yang dahulunya terperangkap di dalam lapisan ais tetapi kini terlepas. Maknanya kita akan berhadapan dengan virus-virus yang beribu tahun umurnya tanpa apa-apa pengetahuan bagaimana untuk menanganinya.

Temubual dengan Jim Titus daripada US EPA

Di dalam suatu temubual melalui internet baru-baru ini dengan Jim Titus daripada Agensi Pemeliharaan Alam Sekitar Amerika Syarikat (US Environment Protection Agency), saya telah bertanyakan beberapa soalan tentang kemungkinan berlakunya pencairan menyeluruh pada tudung ais kedua kutub dan kesannya masing-masing ke atas paras laut sedunia. Berikut adalah ringkasan persoalan dan jawapan tersebut:

C – Wade Cox iaitu penulis artikel; JT – Jim Titus

(C) Jika tudung ais di Greenland mencair:

(a)    Apakah anggaran jumlah kenaikan aras laut sedunia?
(b)    Berapakah lajunya atau berapa lamakah masa yang akan diambil untuk ia terjadi berdasarkan keadaan seperti sekarang ini?

(JT) Jika seluruh lapisan ais itu mencair, dianggarkan bahawa laut-laut akan naik sebanyak enam meter. Ini mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya seribu tahun. (Laporan EPA ini terdapat dihttp://www.gcrio.org/EPA/sealevel/text.html). Anggaran-anggarannya ada pada Bab 7. Bahagian Greenland ada pada Bab 4. Besar kemungkinan, anda akan hanya melihat peningkatan sebanyak beberapa sentimeter saja pada abad seterusnya ini, mungkin 30 sm.

[1,000 tahun yang lalu, orang-orang Denmark telahpun menduduki Greenland yang mempunyai kurang ais berbanding sekarang.]

(C) Jika tudung Antartika mencair:

(a) Apakah kesan bahagian besen (lembah) Baratnya terhadap paras laut?
(b) Apakah kesan seluruh tudung ais tersebut    terhadap paras laut?

(JT) 6 meter bagi bahagian Barat dan lebih kurang 60 meter bagi seluruh lapisan ais itu. Ini akan mengambil masa berpuluh ribu tahun.

(C) Apakah kesan gabungannya kepada paras laut?

(JT) Lupakan Antartika Timur. Satu-satunya senario yang boleh menyebabkan  suatu peningkatan paras yang tinggi adalah gabungan antara Antartika Barat dengan pemanasan sebahagian besar Greenland, menyebabkan penaikan 4 meter dalam 200 tahun dan lebih kurang 8 meter dalam 500 tahun. Ini tidak semestinya terjadi tetapi anggarannya ada pada Bab 7 laporan EPA itu.

(C) Apakah kesan pengurangan pantulan ini ke atas sistem suhu selain daripada kesan gas rumah panas (greenhouse gas effect)?

(JT) Keadaan ini ada di dalam bahagian model-model. Pengurangan utama yang berlaku di Albedo adalah pengunduran ais laut, bukannya glasier, kerana lebih banyak sinaran matahari yang terkena pada ais laut. Perhatikan juga bahawa pencairan gumpalan Artik akan terjadi lebih awal, mungkin sebanyak beberapa abad, yang akan menyebabkan terjadinya bentuk radial yang tidak simetri antara hemisfera utara dan selatan.

(C) Apakah kesan daripada penggunaan alat termo-nuklear untuk mencairkan gumpalan ais di kutub-kutub ini? Nampaknya ini akan menjadikan semua teori-teori, tidak boleh dipakai lagi. Berapa banyakkah senjata nuklear atau yang lain yang diperlukan untuk mencairkan:
(a) lapisan Greenland?
(b) gumpalan ais Antartika?

(JT) Kami tidak tahu.

(C) Apakah kesan glasier-glasier ke atas paras keseluruhannya?

(JT) Saya sudahpun sebutkan hal ini di atas (lihat juga Bab 7 laporan itu).

(C) Apakah kesan haba secara keseluruhannya ke atas paras laut dengan peningkatan suhu sedunia sebanyak 10 darjah?

(JT) Secara kasar pengiraannya adalah 30 sm bagi setiap darjah selepas beberapa abad.

(C) Ada apa-apa komen lagi yang mungkin berguna untuk kita tangani hal ini dengan cara yang mudah dan bertanggungjawab namun tetap menunjukkan bahaya-bahaya yang terbabit?

(JT) Ya, ada. Manusia harus mula memikirkan bagaimana untuk merancang pengurusan pinggiran pantai mereka.

Jika tidak, akhirnya apa yang kita boleh buat cumalah memperkubukan pinggiran pantai kita, terutamanya muara-muara, dan tanpa adanya pantai atau kawasan berair lagi. Apa yang saya maksudkan adalah perancangan penggunaan tanah jangka panjang, yang jauh lebih murah daripada mengurangkan penggunaan bahan api fosil. Jadi jika kita terfikir untuk melakukan yang kedua, kita harus juga melakukan yang pertama ini. Paras laut akan naik. Sudah terlambat untuk kita menghentikan peningkatan ini. Namun kita masih terus membangunkan kawasan-kawasan pinggiran pantai seolah-olah peningkatan ini tidak berlaku. Kita harus memindahkan hak milik tanah di beberapa kawasan pinggiran pantai supaya kawasan-kawasan tersebut akan kembali seperti semulajadi apabila laut menaik parasnya.

Jim Titus telah memberikan butir-butir teliti di dalam kertas kerjanya mengenai polisi kawasan berair (berpaya) dan telah menyarankan bagaimana untuk mempertahankan kawasan-kawasan berpaya dan pantai tanpa menyusahkan pemilik-pemilik tanah.

Saya kemudiannya mengajukan satu lagi persoalan serius kepadanya iaitu sama ada dia telah mengkaji kesan jisim dalam pergerakan polar berbanding kesan jisim pada pusat bumi.
Dia terus-terang mengatakan bahawa orang lain mungkin ada menyelidiknya, tetapi dalam kajiannya tidak ada. Dia memberitahu bahawa isu ini tidak begitu dipentingkan di Amerika Syarikat. Dia mengatakan bahawa “penyelidikan mencadangkan variasi 10% di Amerika Syarikat.” Dia mengatakan bahawa peningkatan paras laut yang sedia ada sudah menjadi satu masalah disebabkan berlakunya pengurangan kawasan tanah, dan sebagainya.

Hasilnya semua tercatat di dalam Bab 7 laporan tersebut. Jim telah menulis tentang kesan-kesannya. Kebanyakan kertas kerja ini terdapat di http://www.erols.com/jtitus.

Jawapan sebenar kepada masalah perancangan jangka panjang ini adalah untuk menyelidik berapa banyak kawasan daratan dunia ini (dikira per negara) akan ditenggelami oleh peningkatan paras pada tahap 30 sm (1 kaki), 50 sm (1.6 kaki), 1 meter (3.3 kaki), 2 meter (6.6 kaki), 5-6 meter (16-19 kaki), dan seterusnya. Kajian telahpun dilaksanakan bagi negara Amerika Syarikat. Butir-butirnya terkandung di dalam kertas kerja Jim Titus yang bertajuk Holding Back the Sea (Menahan Laut).

Dia berkata bahawa tiada alasannya untuk tidak membuat kiraan-kiraan sedemikian bagi Australia, dan sememangnya setiap negara.

Ini merupakan suatu temubual yang jelas sekali dan diharapkan akan membantu dalam mendapatkan satu idea tentang masalah yang timbul nanti jika  perkiraan-perkiraan ini betul mengikut kadar-kadar masakini. Tiada peruntukan diberikan bagi kesan-kesan daripada peperangan nuklear dan/atau aktiviti pengganas atau sistem senjata laser atau berpanduan laser pada stesen angkasa lepas. Begitu juga dengan andaian bahawa kemungkinannya kecil sekali bagi Antartika Timur mencair. Ini mungkin satu kesilapan. (Sekarangpun sudah diketahui bahawa ia sememangnya suatu kesilapan yang serius). Terdapat cara yang melibatkan operasi ketenteraan berkenaan hal ini dengan tujuan mendapatkan penyelesaian jangka pendek namun belum dipertimbangkan lagi dan yang diteliti di dalam artikel 30 Tahun Terakhir - Pergelutan Penghabisan [219].
Kesan total daripada pencairan gumpalan (tudung) ais adalah sekurang-kurangnya peningkatan 66 meter (lebih daripada 200 kaki) bagi paras laut tanpa mengira pemanasan super atau berlebihan.

Pencairan tudung Antartika Timur akan mengurangkan pantulan dan fakta ini tidak begitu diperhatikan. Kesan peperangan tidak dikira ke dalam statistik. Ada beberapa negara yang lebih terdedah berbanding yang lainnya kepada kesan peningkatan paras laut secara besar-besaran. Bahagian barat laut Eropah adalah satu contoh yang klasik.

Lebih khusus lagi adalah hal ketidakstabilan kerak bumi dan peningkatan dalam kejadian gempa bumi. Peningkatan pada aktiviti gempa bumi pada dua tahun kebelakangan ini secara relatifnya adalah signifikan. Lebih banyak lagi gempa bumi yang telah berlaku di kawasan yang berpenduduk berbanding sebelumnya. Ini adalah penting.

Leave a Reply